Saturday, November 8, 2008

NAJIB 112, KU LI 1, MUHYIDDIN 67, ALI 25, MUHAMMAD 18

Datuk Mohd Ali Rustam mendapat pencalonan ke-25 untuk jawatan timbalan presiden dari bahagian Batu, Wilayah Persekutuan, yang turut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden. Bagi naib presiden pula, bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Khaled Nordin.

Read more

Friday, November 7, 2008

Sunday, November 2, 2008

MUKHRIZ 71, KHIR 56, KHAIRY 51

6.15 pm Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir memperolehi pencalonan ke-71 untuk jawatan ketua Pemuda dari bahagian Temerloh (Pahang), yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai naib ketua.

Razali kini mengumpulkan 91 pencalonan manakala pesaing terdekatnya, exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendapat 80 pencalonan.

5.00 pm Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat pencalonan ke-56 bagi jawatan ketua Pemuda dari bahagian Kudat, Sabah, yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua. Reezal kini mendapat 80 pencalonan.

5.00 pm Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat pencalonan ke-55 bagi jawatan ketua Pemuda dari bahagian Sungai Besar, Selangor yang turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua. Reezal kini mendapat 79 pencalonan.

PROSIDING KES LIWAT ANWAR BERJALAN LANCAR

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Polis berjaya memastikan prosiding kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini.


Kawalan trafik menghala ke kompleks itu turut lancar dan tiada jalan yang ditutup.


Kira-kira 30 pegawai dan anggota polis ditugaskan sejak kira-kira pukul 8 pagi bagi mengawal keselamatan di sekitar kompleks mahkamah tersebut.


Bagaimanapun, hanya kira-kira 20 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir memberi sokongan kepada Anwar di pekarangan mahkamah itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tiba di Mahkamah Sesyen di sini bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta peguamnya, S.N. Nair pada pukul 8.55 pagi bagi menghadiri prosiding kes tuduhan liwat yang dihadapinya.


Mahkamah Sesyen hari ini mendengar hujahan lanjut yang dibentangkan oleh peguam bela Anwar bagi membantah permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan perbicaraan kes liwat terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke Mahkamah Tinggi di sini.


Anwar, 61, yang kini ketua pembangkang di Parlimen didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lalu, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

MUKTAMAD, NAJIB MENANG TANPA BERTANDING



PETALING JAYA: Sah! Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mengungguli jumlah pencalonan diterima bagi jawatan Presiden Umno setakat ini, menangani kerusi tersebut tanpa bertanding.

Kemenangan itu dicapai pada pukul 4.11 petang tadi.

Dengan kemenangan itu, Najib bakal diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Umno yang baru apabila Perhimpunan Agung Tahunan dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Mengikut tradisi Umno seseorang pemimpin yang dicalonkan perlu menerima pencalonan sebagai syarat bertanding.

Dalam kes Najib, kedudukan beliau akan menjadi rasmi Mac depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan bertanding jawatan itu selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya.

Malah, Najib yang kini merupakan Timbalan Presiden Umno dijangka menyapu kesemua pencalonan daripada 27 bahagian yang bersidang sepanjang hari ini.

Sehingga pukul 2 petang, Najib telah menerima sebanyak 122 pencalonan. Ia meningkat 12 lagi menjelang pukul 4.11 petang tadi.

Setelah 123 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan sehingga malam tadi, hari ini 27 lagi bahagian melangsungkan pertemuan masing-masing.

Jumlah itu menjadikan 147 bahagian akan selesai bersidang menjelang tengah malam ini.
Keseluruhan bahagian Umno ialah 191. Persidangan perwakilan perlu berakhir menjelang 9 November.

Semalam Najib menyapu bersih kesemua pencalonan kecuali Gua Musang yang diterima oleh Tengku Razaleih Hamzah.

Razaleigh yang turut menawarkan diri merebut jawatan Presiden Umno, memperoleh pencalonan tunggalnya daripada bahagian yang diketuainya, Gua Musang.

Seseorang calon yang layak bertanding jawatan itu perlu memperoleh minimum 58 pencalonan.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mendahului bagi jawatan Timbalan Presiden dengan mendapat 69 pencalonan apabila menokok empat lagi pencalonan daripada bahagian Bagan, Tambun, Kota Baharu dan Kubang Pasu manakala Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menambah dua pencalonan daripada bahagian Padang Serai dan Batu menjadikan 25 pencalonan setakat semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib juga pencalonan, daripada bahagian Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krau, Jerantut dan Bera, menjadikan 20 pencalonan manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menerima pencalonan sulungnya bagi jawatan Timbalan Presiden menerusi bahagian Gua Musang.

Selain jawatan Presiden, persidangan hari ini juga akan mampu memutamadkan calon-calon yang layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan itu memerlukan pencalonan sekurang-kurangnya 39.

MAHATHIR: UMNO PERLUKAN BADAN PENASIHAT BEBAS PULIH PARTI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Umno memerlukan badan penasihat khas yang bebas daripada sebarang kepentingan peribadi jika ingin melakukan perubahan positif.

"Kita perlu ada badan penasihat, tapi badan penasihat itu perlu tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri," katanya dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani sebentar tadi.

Namun jelas beliau, jika badan tersebut dipengarahi pihak-pihak tertentu, ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada Umno itu sendiri.


"Kalau jadi badan penasihat tapi guna pengaruh yang ada untuk dapatkan sesuatu, ia akan memberikan konflik dan nasihat yang diberikan itu mungkin tidak baik," katanya.

Selain itu beliau berkata Umno seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.

"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," katanya.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.

"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk Pas kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.

"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.

"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.

Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.

"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Bagaimanapun Mahathir masih berkeyakinan BN akan pulih jika semua pemimpin parti komponennya turun padang serta kembali mendekatkan diri dengan rakyat.

"Kalau terus bergaduh sesama sendiri tak ada faedah, pilihan raya lalu bukan sahaja buruk bagi Umno malah semua parti komponennya hampir hancur.

"Jadi BN perlu tunjuk teladan yang baik untuk kembalikan keyakinan rakyat," katanya.